SHAH ALAM - Biarpun hanya beraksi selama 20 minit dan merupakan aksi pertamanya bersama skuda senior, pemain Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri menggegar di hadapan 5,000 penyokong di Stadium Shah Alam apabila mencipta hatrik untuk membantu Harimau Malaya membaham Sri Lanka 6-0 pada perlawanan persahabatan, semalam.
Masuk menggantikan Safee Sali pada minit ke-70, Hazwan yang baru berusia 20 tahun, mempamerkan belangnya dengan menjaringkan gol pada minit ke-71, ke-82 dan ke-90.
Tiga lagi gol dijaringkan oleh seorang lagi pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal (minit ke-24 dan ke-26) dan penyerang Pahang, Azamuddin Akil pada minit ke-85.
Gol pertama negara tercipta melalui gerakan bijak ketua pasukan, Safiq Rahim yang melorongkan bola kepada Wan Zack pada minit ke-24 selepas bijak melepasi perangkap ofsaid dan mudah merembat masuk ke dalam gawang yang kosong bagi memastikan Harimau Malaya bermula garang.
Belum sempat Sri Lanka memperkemaskan aksi, Harimau terus mengaum garang dua minit kemudian, sekali lagi melalui Wan Zack.
Pemain Bawah 23 tahun negara itu yang melakukan larian mengelirukan pertahanan lawan dan melepaskan sepakan cantik menumpaskan Weearsinghe Sinnath.
Penyokong Harimau terus berpesta pada minit ke-30 apabila menyangkakan Safee Sali menjaringkan gol tetapi dibatalkan oleh pembantu pengadil kerana ofsaid.
Anak-anak buah Datuk K. Rajagobal bermula perlahan di separuh masa kedua dengan banyak membiarkan Sri Lanka menguasai bola dan tidak ada sebarang percubaan merbahaya dapat dilancarkan sebelum kemasukan satu lagi pemain produk Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri mengubah rentak perlawanan.
Menggantikan Safee pada minit ke-71, sentuhan pertama Hazwan terus menghasilkan gol ketiga Harimau Malaya yang juga gol pertamanya pada perlawanan sulung bersama skuad senior negara di pentas antarabangsa.
Hazwan terus mempamerkan bisanya dengan meledak gol kedua peribadi pada minit ke-82 selepas menerima hantaran dari sebelah kiri sebelum penyerang Pahang, Azamuddin Akil menambah gol kelima apabila mudah menolak masuk bola muntah percubaan Mohd. Aidil Zafuan melalui situasi sepakan percuma pada minit ke-85.
Ketika perlawanan hampir tamat, Hazwan sekali lagi mencuri tumpuan apabila melalui gerakan kreatif Safiq, Hazwan yang merupakan pemain produk Kuala Lumpur menanduk masuk gol keenam Harimau Malaya, sekali gus mengesahkan jaringan hatrik
No comments:
Post a Comment