azlanmz@hmetro.com
WAN ZACK...harap rakan sepasukan benam Sri Lanka |
KEMENANGAN perlu direalisasi skuad negara apabila menentang Sri Lanka dalam aksi persahabatan berstatus A di Stadium Shah Alam, Sabtu depan bagi ‘menggembirakan’ penyokong tempatan. ni kerana kemenangan terakhir diraih skuad kendalian Datuk K Rajagobal di pentas antarabangsa kira-kira 10 bulan lalu apabila menewaskan Taiwan, 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun 2011.
Selepas itu penyokong dan peminat negara hanya disajikan keputusan seri dan kekalahan menentang Singapura (dua perlawanan), Australia, India (dua perlawanan) dan terakhir bangkit mengikat Filipina 1-1 pada Februari lalu.
Hakikat itu turut diakui pemain sayap negara, Wan Zack Haikal Wan Nor yang menyifatkan kemenangan diperlukan bagi memberi kepuasan kepada penyokong dan peminat skuad negara.
“Kami akan berusaha mencipta kemenangan terutamanya bagi memberi ‘hadiah’ kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan. Walaupun tanpa kehadiran sejumlah pemain utama, saya yakin kami tidak akan berdepan masalah untuk melakukannya,” katanya yang dipanggil kali kedua menyertai skuad negara.
Namun pemain muda berusia 21 tahun itu tetap mengingatkan diri sendiri dan rakan sepasukan agar tidak mengambil mudah lawan yang berada di ranking lebih rendah berbanding skuad negara iaitu ke-181 dunia.
“Kami perlu sentiasa berwaspada sepanjang perlawanan berlangsung. Sebarang kemungkinan atau keputusan di luar jangkaan boleh berlaku jika lalai,” kata pemain Harimau Muda A itu. Bagi perlawanan itu, Rajagobal tidak memanggil sejumlah tonggak utama yang beraksi untuk Kelantan dan Terengganu dalam Piala AFC sekali gus memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan namun penyerang sensasi negara, Mohd Safee Sali dijangka menjadi harapan utama merobek gawang Sri Lanka.
No comments:
Post a Comment