hidayat.azmie@kosmo.com.my
DI sebalik kejayaan mengekalkan rekod kebal tanpa kalah dalam saingan Liga Singapura (Liga S) setakat ini, ada janji yang mahu dilunaskan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee. Malam kelmarin, skuad muda negara yang berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Singapore Armed Forces di Stadium Choa Chu Kang kini berkongsi 14 mata dengan Brunei DPMM, yang kini menerajui takhta liga hasil perbezaan jaringan.
Malah, musibah kecederaan yang melanda pemain utama seperti kapten, Mahali Jasuli, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Irfan Fazail dan Affizie Faizal Mamat ketika ini juga tidak membimbangkan Kim Swee gara-gara kecemerlangan yang ditunjukkan pemain lain seperti Mohd. Azizan Nordin dan Shahrul Saad ketika membenam cabaran Armed Forces kelmarin.
Malah, musibah kecederaan yang melanda pemain utama seperti kapten, Mahali Jasuli, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Irfan Fazail dan Affizie Faizal Mamat ketika ini juga tidak membimbangkan Kim Swee gara-gara kecemerlangan yang ditunjukkan pemain lain seperti Mohd. Azizan Nordin dan Shahrul Saad ketika membenam cabaran Armed Forces kelmarin.
"Sebelum ini, saya pernah berjanji mahu menurunkan kesemua pemain dalam saingan Liga S, jadi sudah tentu saya akan menunaikan janji saya dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.
"Inilah masanya kepada pemain yang jarang diberikan peluang supaya membuktikan sesuatu.
"Bagi saya, faktor kecederaan pemain utama bukan satu masalah besar kerana saya memiliki pemain lain yang sama hebat, dan ia telah dibuktikan oleh Mohd. Azizan dan Shahrul yang beraksi cemerlang ketika menentang Armed Forces (kelmarin)," katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam aksi kelmarin, Wan Zack Haikal Wan Nor terlebih dahulu meletakkan Harimau Muda di depan pada minit ke-69 sebelum tandukan penyerang Armed Forces, Shimpei Sakurada berjaya menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian.
Penyerang Harimau Muda, Ahmad Hazwan Bakri akhirnya muncul wira apabila bijak menyempurnakan hantaran Wan Zack tiga minit sebelum perlawanan tamat untuk tiga mata berharga skuad negara.
Mengulas lanjut, Kim Swee juga menasihatkan anak-anak buahnya supaya berwaspada ketika menentang Home United di Stadium Yishun Ahad depan terutamanya ketika pasukan itu tewas mengejut kepada Tampines Rovers dengan keputusan 0-2 dalam satu lagi aksi Liga S kelmarin.
"Home United sememangnya pasukan yang kuat, dan ia dapat dilihat apabila mereka muncul sebagai pendahulu liga sebelum ini sebelum dipintas Brunei DPMM.
"Justeru, saya tidak menolak kemungkinan bakal melakukan rombakan kecil terhadap skuad ketika menentang Home United kelak, itupun bergantung kepada tahap kecergasan pemain utama sama ada mereka bebas daripada kecederaan."
No comments:
Post a Comment