KUALA LUMPUR - Tindakan memilih corak permainan terbuka membuatkan pasukan Bawah 23 tahun negara terpaksa membayar harga yang mahal apabila tewas dengan angka jaringan yang lebih besar 0-4 berbanding kekalahan 0-2 di Jepun pada 21 September lalu.
Itulah rumusan yang boleh diperkatakan ke atas kekalahan kelima berturut-turut Harimau Muda dalam saingan Kumpulan C kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Itulah rumusan yang boleh diperkatakan ke atas kekalahan kelima berturut-turut Harimau Muda dalam saingan Kumpulan C kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Hakikat itu diperakui oleh pengendalinya, Ong Kim Swee yang mengatakan dia memilih pendekatan sebegitu kerana sebagai pasukan tuan rumah, dia berasakan tidak wajar mereka menggunakan taktikal bertahan semasa pertemuan pertama Fukuoka, Jepun.
''Memandangkan kami bermain di tempat sendiri, saya mengarahkan pemain-pemain cuba bermain lebih ofensif di samping kami tidak mempunyai sebarang kepentingan lagi dalam perlawanan malam ini.
''Namun, kami gagal bermain dengan konsisten sepanjang 90 minit dan pemain saya kurang keupayaan untuk bersaing dengan pasukan lawan, itu menyebabkan kami tewas dengan jumlah jaringan empat gol.
''Apa yang pasti, keputusan pada perlawanan malam ini menunjukkan perbezaan antara pasukan yang matang dan sebuah pasukan yang baik, diharapkan semua pemain dapat mengambil sesuatu yang positif atas kekalahan ini," kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan Malaysia dan Jepun, kelmarin.
Malaysia yang berjaya mengikat Jepun pada 35 minit awal perlawanan ketinggalan 0-2 pada babak pertama melalui jaringan Hiroki Sakai pada minit ke-35 dan Yuya Osako pada minit ke-45.
Samurai Biru mengukuhkan kedudukan dengan dua lagi gol pada babak kedua hasil kelemahan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan barisan pertahanan negara menerusi Genki Haraguchi pada minit ke-55 dan Manabu Saito pada minit ke-60.
Dalam pada itu, Kim Swee mengakui gol kedua Jepun sebelum tamat separuh masa pertama mengubah rentak perlawanan yang membuatkan anak-anak buahnya gagal beraksi baik pada permulaan babak kedua.
''Bagi saya, gol kedua Jepun menjadi titik tolak kepada kekalahan besar malam ini, apabila Jepun menjaringkan gol ketiga, kebanyakan moral pemain saya telah menurun.
''Saya mengakui semua pemain saya tidak bermain dengan baik pada malam tadi dan anda semua sendiri boleh melihat perbezaan ketara antara kami dengan pasukan gergasi Asia," katanya.
Walaupun begitu, dia berharap pemain-pemain yang bakal mewakili negara di kejohanan Bawah 22 tahun Piala Asia pada Jun depan dapat mempelajari sesuatu yang berharga
''Lapan daripada 11 pemain yang berada dalam kesebelasan utama pada malam ini masih boleh mewakili negara dalam kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun dan mereka perlu cepat belajar apa yang perlu dilakukan jika melalu perlawanan sebegini pada masa akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment