11 Februari 2012
“SAFEE tidak terjejas sekalipun Persatuan Sepakbola Indonesia (PSSI) diharamkan oleh Fifa,” tegas Zakaria Rahim, Pengurus peribadi penyerang sensasi negara, Safee Sali.
Kemelut yang tidak berkesudahan ini timbul disebabkan status pengharaman Liga Super Indonesia (ISL) oleh PSSI yang mungkin menyebabkan Safee diharamkan beraksi bersama skuad kebangsaan jika terus bermain dengan Pelita Jaya dalam saingan ISL yang dilabel ‘liga haram’ di sana.
“Sekalipun ia terjadi, Pelita Jaya telah memberi jaminan Safee mungkin akan dipindahkan ke kelab lain dan isu tidak boleh bermain dengan skuad kebangsaan tidak timbul kerana isu ini bukan mengenai Safee, tetapi kelab dan persatuan itu.
“Malah, perbincangan mengenai kemelut ini akan dibincangkan oleh PSSI dalam kongres tahunannya pada 18 Mac ini dan keputusan mungkin akan diketahui selepas itu,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay berkata, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan AFC memberi masa sehingga 22 Mac depan kepada PSSI untuk mengadakan satu sidang kongres dan pilihan raya bagi menyelesaikan kemelut mengenai status liga yang diharamkan.
Pada awal Februari lalu, Safee baru menyambung dua tahun kontrak dengan Pelita Jaya dengan tawaran pakej bernilai lebih RM2 juta termasuk pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai yang dibayar oleh kelab, tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang disediakan oleh Kelab dan penghormatan sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.
Dalam perkembangan lain, Safee bakal turun sebagai Kapten Pelita Jaya pada perlawanan menentang kelab Persipura, Rabu depan.
No comments:
Post a Comment