Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
JEPUN membuktikan betapa mereka wajar dihormati selaku pasukan handalan Asia apabila mudah meratah skuad muda negara dengan kemenangan besar 4-0 pada aksi kelayakan Kumpulan C Sukan Olimpik London 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Kemenangan itu cukup bermakna buat skuad Samurai Biru untuk mencerahkan peluang layak ke London selaku juara kumpulan dengan mengumpul 12 mata berbanding Malaysia terus kempunan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata.
Malah kekalahan besar itu lebih perit untuk ditelan anak buah Ong Kim Swee yang sebelum ini hanya tewas 0-2 pada aksi pertama di Fukuoka September tahun lalu lalu sekali gus memperlihatkan jurang perbezaan sebenar kedua-dua pasukan.
Sebaik permainan bermula, Jepun terlebih dulu mengancam ke kubu negara menerusi rembatan pemain tengah, Manabu Saito namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Namun Kim Swee yang melakukan rombakan formasi 4-4-2 dalam usaha menebusi gawang pasukan pelawat melancarkan serangan menerusi rembatan Mohamad Fandi Othman yang sedikit tersasar di minit ke-12.
Malaysia kehilangan pemain pertahanan kanan, Mahali Jasuli yang digantikan Mohd Affize Faisal Mamat akibat kecederaan dan kesempatan itu digunakan skuad Samurai Biru kendalian Takashi Sekizuka mendominasi permainan.
Jaringan pertama Jepun hadir hasil serangan pantas Genki Haraguchi yang membuka ruang untuk pemain kelab Kashiwa Reysol, Hiroki Sakai menolak masuk gol pada minit ke-35.
Skuad negara hampir menyamakan kedudukan namun sepakan lemah penyerang A Thamil Arasu di minit ke-38 dalam kotak penalti mudah diselamatkan Shuichi Gonda lantas mengecewakan hampir 15,000 penonton.
Sebaliknya Jepun yang memerlukan kemenangan besar untuk memintas Syria di tangga teratas Kumpulan C menambah gol kedua hasil tandukan penyerang utama, Yuya Osaki di minit ke-44.
Jepun langsung tidak memberi ruang kepada Malaysia yang tewas dalam empat perlawanan kumpulan sebelum ini untuk bangkit dengan menyumbat dua lagi gol menerusi Haraguchi di minit ke-55 dan Saito tiga minit kemudian.
No comments:
Post a Comment