hidayat.azmie@kosmo.com.my
LUPAKAN Korea Selatan, fokus ancaman Filipina. Itu tekad Harimau Muda yang berazam kembali bangkit menentang Filipina pada aksi kedua Kumpulan G kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun (B-22) di Stadium Aung San, Yangon, Myanmar petang ini.
Duka dijinakkan Korea Selatan 2-3 dalam aksi pembuka tirai kelmarin telah dibuang jauh-jauh oleh anak-anak buah Ong Kim Swee yang pastinya ‘berselera besar’ mahu membenam cabaran Filipina.
Namun pada masa sama, Kim Swee enggan pemainnya dibuai perasaan terlampau yakin memandangkan The Azkal pastinya mahu mengubati kekecewaan setelah ‘dikerjakan’ tuan rumah, Myanmar 1-5 dalam aksi pertama mereka kelmarin.
“Saya menuntut pemain supaya menganggap kesemua perlawanan ibarat final serta berterusan mempamerkan aksi luar biasa.
“Tewas kepada Korea Selatan bukan petanda segala-galanya telah berakhir, jadi misi memburu tiga mata tetap membara bermula menentang Filipina (petang ini).
“Malah, saya juga tidak menganggap beraksi di Stadium Aung San (berbanding Stadium Thuwunna) satu masalah kerana kami pernah menjalani latihan di stadium itu sebelum ini,” kata Kim Swee semasa dihubungi Kosmo! di Myanmar semalam.
Selepas Filipina, Harimau Muda bakal melayan cabaran Taiwan pada Khamis ini sebelum menentang Vietnam (30 Jun) dan Myanmar pada 3 Julai.
Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung tahun depan.
Turut layak ialah pasukan ketiga terbaik daripada tujuh kumpulan peringkat kelayakan.
Petang ini, Kim Swee dijangka membuat rombakan kecil di bahagian benteng pertahanan yang tampak sedikit goyah semasa berdepan Korea Selatan tempoh hari sekembalinya Mohd. Fadhli Mohd. Shas yang sebelum ini digantung satu perlawanan.
Mengulas lanjut, Kim Swee memberitahu, masih belum membuat keputusan sama ada mahu menurunkan ‘arkitek’ muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor ataupun Gary Steven Robbat di bahagian tengah ketika menentang Filipina meskipun kemasukan Gary pada pertengahan babak kedua dilihat cukup positif semasa menentang Korea Selatan tempoh hari.
Pada masa sama, beliau juga gembira dengan sentuhan penyudah Thamil Arasu yang meledak dua gol ketika menentang Korea Selatan
No comments:
Post a Comment