PEMAIN negara perlu melupakan kekecewaan ketika aksi menentang Filipina minggu lalu sebaliknya kembali fokus untuk tampil lebih garang menghadapi Singapura, Jumaat ini. |
LUPAKAN Filipina, waspada ancaman Singapura. Demikian mesej pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal kepada pemain Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan menentang skuad republik itu di Stadium Jalan Besar, Jumaat ini.
Menurut beliau, kekecewaan sekadar seri tanpa jaringan dengan skuad The Azkal di Stadium Shah Alam minggu lepas harus segera dibuang jauh- jauh oleh setiap pemain.
Sebaliknya kata beliau, semangat untuk menang wajib dituntut daripada setiap pemain Harimau Malaya supaya tidak berputih mata Jumaat ini.
"Kami akan bermain untuk menang, tidak ada mana-mana pasukan di dunia yang mahu kalah meskipun ia sekadar perlawanan persahabatan.
"Sebelum kita muncul juara Sukan SEA dan Piala AFF sebelum ini, tiada sesiapa pun yang memberikan 'resipi' kepada saya. Situasi itu jelas berbeza sekarang sedangkan kita rata-ratanya dibarisi pemain yang sama semasa muncul juara ketika itu.
"Harus diingat, matlamat asal kita adalah Piala Asia 2015, jadi apa jua keputusan sebelum itu merupakan satu proses pembelajaran," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Selepas aksi Jumaat ini, Malaysia bakal berdepan lawan yang sama di Stadium Shah Alam empat hari kemudian sebagai persiapan awal mempertahankan Piala AFF, November depan.
Untuk rekod, Malaysia tewas menerusi agregat 4-6 kepada Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Julai tahun lepas.
Mengulas lanjut, Rajagobal menjelaskan bahawa beliau belum dapat membayangkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan Jumaat ini.
Buat masa ini katanya, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Ashaari Shamsuddin belum pasti dapat diturunkan gara-gara masih dibelenggu kecederaan, mana- kala Aidil Zafuan Abdul Razak juga masih belum cergas sepenuhnya.
"Malah, saya juga mempercayai kredibiliti ketiga-tiga penjaga gol iaitu Mohd. Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat dan Sharbinee Alawee. Siapa yang akan diturunkan, kita tunggu dan lihat," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemarau gol peledak sensasi negara, Mohd. Safee Sali yang hanya akan menyertai skuad kebangsaan di Singapura hari ini Rajagobal menjelaskan: "Sebagai bekas penyerang, saya memahami kekecewaan Safee.
"Cuma saya harap, dia lebih tabah menghadapi situasi ini dan percaya akan kembali menemui semula sentuhan penyudahnya selepas ini."
No comments:
Post a Comment