27 Jun 2012
Bukan mahu menidakkan kemenangan besar 7-0 ke atas Filipina, tetapi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, tidak mahu keghairahan ketika meraikan kejayaan itu menjadikan skuad bimbingan Ong Kim Swee terlalu yakin untuk turun menentang Taiwan, esok.
“Sudah tentu kita mahu kemenangan berterusan. Bukan setakat ketika menentang Filipina tetapi dengan pasukan lain. Semestinya kita mahu mereka meneruskan kejayaan dengan menumpaskan Taiwan pula.
“Paling penting, jangan ambil mudah walaupun siapa pun lawan kita, sentiasa berwaspada dengan setiap cabaran lawan,” katanya mengulas kejayaan cemerlang skuad bawah 22 tahun selepas tumpas 2-3 kepada Korea Selatan pada aksi pembukaan, Sabtu lalu.
Pada masa sama, Shabery turut mengingatkan skuad Harimau Muda sentiasa berwaspada terutama dengan kebangkitan pasukan tuan rumah, Myanmar.
“Korea Selatan merupakan sainganterkuat, namun pasukan negara tetap perlu berwaspada dengan kehadiran Myanmar yang memiliki program pembangunan begitu baik di samping sistem liga yang dibentuk semula.
“Bahkan ketika aksi di Sukan Sea tahun lalu, kita dapat lihat mutu permainan mereka semakin meningkat sehingga sukar ditewaskan,” katanya.