KIM SWEE (kanan) lebih mengutamakan kekuatan mental pemain menjelang aksi menentang Singapore Armed Forces, Ahad ini. |
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.myKIM SWEE (kanan) lebih mengutamakan kekuatan mental pemain menjelang aksi menentang Singapore Armed Forces, Ahad ini.
KEKUATAN mental pemain Harimau Muda dilihat menjadi keutamaan pengendalinya, Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Singapore Armed Forces dalam aksi Liga Singapura (Liga S) di Stadium Choa Chu Kang, Ahad ini.
Kejayaan menewaskan Courts Young Lions dengan keputusan 3-1 di Stadium Yishun, Ahad lepas jelas menjadi tonik utama skuadnya dalam usaha mengekalkan rekod kebal tanpa kalah dalam saingan Liga S setakat ini.
Malah, kredibiliti Armed Forces yang dibarisi beberapa pemain import juga tidak menghadirkan rasa gerun di hati Kim Swee kerana yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya dalam usaha memburu tiga mata berharga.
"Pada aksi menentang Young Lions sebelum ini, pemain saya dilihat tidak mudah menyerah kalah meskipun ketinggalan pada suatu ketika.
"Bagi saya, semangat juang yang ditunjukkan pemain Harimau Muda ketika itu adalah satu perkembangan yang positif dan ia perlu diteruskan dalam perlawanan akan datang.
"Saya yakin pasukan kita berada di trek yang betul untuk mencapai sasaran menamatkan saingan Liga S di tangga kelima musim ini," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Harimau Muda yang mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan dan dua seri sebelum ini kini hanya ketinggalan satu mata di belakang peneraju liga, Home United yang begitupun beraksi lebih satu perlawanan.
Selain menang ke atas Young Lions, skuad muda negara juga berjaya menewaskan Gombak United 2-0 dan Tanjung Pagar United 3-0 selain seri ketika menentang Albirex Niigata 0-0 serta Brunei DPMM 1-1. Armed Forces kini di tangga kelapan liga dengan tujuh mata.
Selepas menentang Armed Forces, tugas lebih getir menanti anak-anak buah Kim Swee apabila dijadualkan berdepan Home United di gelanggang sendiri pada 8 April ini.
Dalam perlawanan Ahad ini, Kim Swee dijangka menggunakan khidmat D. Saarvindran dan Shahrul Saad bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Irfan Fazail dan Mohamad Amer Saidin yang tidak cergas sepenuhnya gara-gara kecederaan.
Selain itu, antara pemain Harimau Muda yang masih berada dalam senarai kecederaan ketika ini termasuklah kapten, Mahali Jasuli, Nazirul Naim Che Hashim dan Izzaq Faris Ramlan.
"Walaupun berada di tangga kedua Liga S, masih terlalu awal untuk berasa selesa. Lagi pun matlamat asal kami adalah untuk proses pendedahan," jelas Kim Swee
No comments:
Post a Comment