hidayat.azmie@kosmo.com.my
JADUAL skuad Harimau Muda sangat padat sehingga hujung tahun ini. |
JADUAL skuad Harimau Muda di saat ini cukup padat. Bermula minggu ini, skuad kendalian Ong Kim Swee akan 'terbang' ke luar negara pada setiap hujung minggu. Bukan untuk 'melawat kawasan', sebaliknya mereka akan menyambung semula perjuangan yang belum selesai dalam saingan Liga Singapura (Liga S) 2012.
Sabtu ini, Harimau Muda bakal melayan kunjungan pasukan di tangga kelima liga, Home United di Stadium Yishun, Singapura, kurang seminggu selepas mendakap trofi Piala SCTV sebaik menewaskan skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta Ahad lalu.
"Jadual kami kembali padat apabila terpaksa 'terbang' ke sana ke mari setiap hujung minggu, jadi saya harap pemain dapat mengekalkan prestasi masing-masing serta bebas daripada kecederaan," kata Kim Swee kepada Kosmo! kelmarin.
Untuk rekod, Harimau Muda kini berada di tangga keempat Liga S dengan 32 mata selepas 17 perlawanan.
Jika meraih tiga mata berharga Sabtu ini, tidak mustahil misi untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan di tangga kelima Liga S musim ini terlaksana.
Selepas menentang Home United, Harimau Muda akan berkunjung ke Stadium Woodlands berdepan Woodlands Wellington pada 22 September depan sebelum melayan kunjungan Balestier Khalsa (27 September) dan Gombak United (30 September) di Stadium Yishun.
Bagi aksi sepanjang Oktober pula, Harimau Muda akan membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari kemudian.
Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.
Kesibukan jadual skuad muda negara juga tidak terhenti di situ apabila dijangka menyertai kejohanan jemputan Newspaper Cup di Vietnam yang dijadualkan berlangsung awal Oktober depan.
Dalam pada itu, Kim Swee juga masih belum dapat memberikan keputusan sama ada akan menyertai Liga S musim depan ataupun tidak biarpun beliau sebelum ini lebih cenderung membawa skuad kendaliannya 'berguru' di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan emas temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar.
"Masih belum ada kata putus (sertai Liga S musim depan atau tidak), ia masih di peringkat perbincangan jadi saya tidak boleh mengulas lanjut," jelas Kim Swee
No comments:
Post a Comment