KUALA LUMPUR - Setelah dipersoalkan sekian lama, akhirnya jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, membuat kejutan apabila menyenaraikan ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi (gambar) dalam 27 pemain yang dipanggil bagi menyertai latihan skuad kebangsaan bagi berdepan Yemen pada perlawanan kedua kelayakan Piala Asia 2015, 22 Mac ini.
Selain Yemen, Badhri juga berpeluang membantu Harimau Malaya dalam dua lagi perlawanan iaitu berdepan Arab Saudi dalam aksi persahabatan, 17 Mac serta perlawanan amal menentang Palestin di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 26 Mac.
Badhri yang sudah berumur 30 tahun masih belum pernah meraih sebarang cap bersama pasukan kebangsaan melainkan pernah diturunkan dalam Pilihan Malaysia ketika dibimbing Ong Kim Swee menentang Chelsea pada tahun 2011.
Walaupun mempamerkan persembahan mantap bersama The Red Warriors terutama pada musim lalu termasuk membantu Kelantan menjuarai gelaran treble, Badhri atau lebih dikenali Piya di kalangan peminat masih belum mampu menambat perhatian Rajagobal.
Pemilihannya kali ini dijangka memberikan saingan sengit di bahagian tengah yang turut dianggotai Safiq Rahim, Mohd. Shakir Shaari dan Abdul Shukor Jusoh.
Namun, tiada kelibat bekas penyerang Pelita Jaya, Safee Sali dan pemain Felda United, Amar Rohidan pada kali ini yang kurang menunjukkan sengat bersama pasukan masing-masing musim ini.
Tidak ketinggalan juga dua pemain Selangor, S. Kunanlan dan K. Gurusamy yang sekadar diletakkan dalam senarai 14 pemain menunggu bersama penjaring terbanyak Liga Super, Mohd. Fauzi Roslan.
Sebaliknya, dua nama yang kembali mendapat panggilan pada kali ini untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan adalah pemain Terengganu, Abdul Manaf Mamat dan pemain sayap Pahang, R. Gopinathan.
Di posisi penjaga gol, kelibat Norazlan Razali yang semakin menunjukkan peningkatan mendadak bersama Selangor, berada dalam senarai yang dijangka mampu mencabar kedudukan Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd. Farizal Marlias sebagai penjaga gol nombor satu negara.
Antara nama-nama baru yang berada di dalam senarai persediaan ialah pemain Darul Takzim, Kamarul Afiq Kamaruddin, pemain tengah Negeri Sembilan, Mohd. Nazrin Nawi, penyerang Selangor, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dan orang besi Pahang, Mohd. Saiful Nizam Miswan.
No comments:
Post a Comment