Bolehkah HARIMAU MALAYA mengulangi KEJAYAAN 2010!! bagi AFF Cup tahun ini?. Undian telah dibuat dan kita diletakkan dalam Kumpulan B dan di cabar oleh musuh tradisi bola sepak SINGAPORE dan INDONESIA...
Butiran lanjut:
Utusan : UNDIAN MENCABAR
Saingan ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan B mungkin tambah menarik jika satu lagi slot diisi oleh Myanmar, yang bersaing dalam pusingan kelayakan.
Jika Myanmar menjadi pelengkap kepada empat pasukan dalam Kumpulan B, ia pastinya menjadikan pertembungan hangat ekoran isu Myanmar yang menurunkan pemain lebih usia pada Kelayakan Piala Asia Bawah 22, baru-baru ini.
Sementara undian Kumpulan A menyaksikan Thailand yang juga tuan rumah bersama Malaysia pada edisi kali ini, diundi bersama juara 2008, Vietnam dan Filipina serta satu pasukan lagi adalah juara peringkat kelayakan.
Mengulas undian skuad kebangsaan semalam, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal berkata, saingan edisi 2012 amat menarik dan undian semalam mengejutkan apabila skuad Harimau Malaya bakal menentang dua musuh tradisi, Singapura dan Indonesia.
“Perlawanan di antara kedua-dua negara ini bakal menarik perhatian penyokong, namun apa yang penting sebagai tuan rumah kita perlu muncul juara kumpulan dan layak ke separuh akhir," katanya yang turut menghadiri undian di Bangkok.
Malaysia muncul juara edisi 2010 selepas menumbangkan Indonesia dalam perlawanan akhir dengan agregat 4-2, selepas menang perlawanan akhir pertama 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tewas 1-2 di Gelora Bung Karno, Jakarta.
“Tidak ragu-ragu lagi apa yang kami fikirkan ialah untuk mempertahankan kejuaraan, itulah yang kami inginkan.
“Saya teruja dengan cabaran ini selepas Indonesia dan Singapura diundi dalam satu kumpulan. Malah pasukan yang beraksi dalam saingan kelayakan juga bukan calang-calang," katanya.
Saingan peringkat kelayakan akan dilangsung di Yangon dari 5 hingga 13 Oktober, melibatkan Myanmar, Kemboja, Timor-Leste, Brunei dan Laos, yang menyaksikan juara dan naib juara akan melengkapkan Kumpulan A dan B sebelum memulakan aksi Piala AFF Suzuki dari 24 November hingga 22 Disember.
Mengikut jadual awal yang telah dikeluarkan, Malaysia akan memulakan aksi pertama pada 25 November menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil diikuti perlawanan kedua pada 28 November bertemu pasukan dari peringkat kelayakan dan akhir sekali menentang Indonesia pada 1 Disember.
Juara dan naib juara Kumpulan A dan B akan beraksi pada saingan separuh akhir pertama pada 8 dan 9 Disember, manakala separuh akhir kedua pula berlangsung pada 12 dan 13 Disember. Saingan akhir secara timbal balik dijadualkan pada 19 dan 22 Disember.
No comments:
Post a Comment