AKSI HARIMAU MALAYA

AKSI HARIMAU MALAYA :
PERSAHABATAN ; -
KELAYAKAN PIALA ASIA : 26

AKSI HARIMAU MUDA :

23 September 2013

HARIMAU MUDA PERLU GARANG!!


Harimau Muda perlu lebih garang
Sumber  : Kosmo
 
SKUAD Harimau Muda meraikan kejayaan menjulang trofi Pestabola Merdeka 2013 di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

PASTINYA masih segar dalam ingatan seluruh rakyat negara ini tentang kemenangan bergaya skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara yang menjuarai Pestabola Merdeka 2013.

Dalam kejohanan yang berakhir pada 14 September lalu, skuad B-23 negara itu berjaya menewaskan Myanmar 2-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang.

Lebih manis, kejayaan skuad Harimau Muda bimbingan Ong Kim Swee itu melakar kejayaan dalam kejohanan edisi ke-41 dengan mengekalkan rekod bersih kemenangan dalam kesemua empat perlawanan serta sekadar melepaskan satu gol sahaja.

Dalam kejohanan empat penjuru itu, kejayaan Harimau Muda tersebut melayakkan mereka meraih hadiah wang tunai AS$50,000 (RM164,500) serta trofi manakala Myanmar pula membawa pulang wang tunai AS$30,000 (RM987,000).

Singapura yang muncul pemenang tempat ketiga, meraih AS$20,000 (RM65,800) dan Thailand di tempat keempat dengan AS$10,000 (RM329,000).

Bagaimanapun, legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh menegaskan, skuad Harimau Muda itu jangan terlalu dibuai mimpi yang indah dengan kejayaan menjulang trofi Pestabola Merdeka 2013 kerana perjalanan mereka masih jauh.

Ujarnya, kejayaan Harimau Muda membawa pulang trofi yang kali terakhir dimenangi pada 2007 itu boleh dianggap sebagai satu permulaan yang meyakinkan namun masih banyak ranjau dan duri menanti mereka selepas ini.

Shukor berkata, mengikut pemerhatiannya, walaupun persembahan Harimau Muda telah ada peningkatan dari semasa ke semasa serta semakin matang namun, masih banyak yang perlu digilap.

“Walaupun tampil dengan aksi konsisten sepanjang kempen Pestabola Merdeka itu, tetapi itu bukan menjadi ukuran sebenar.

“Ini kerana kejohanan itu sekadar menampilkan empat buah negara serta kebanyakan pasukan tidak menghantar skuad utama mereka.

“Bagaimanapun, itu satu permulaan yang baik buat anak-anak buah Ong Kim Swee tetapi saya melihat masih banyak aspek yang perlu digilap terutama dalam melakukan penyudah.

“Saya berpendapat, masih banyak yang perlu dipertajamkan dalam melakukan aksi penyudah di depan gol.

“Saya juga melihat, tiga aksi awal pada peringkat kumpulan dalam Pestabola Merdeka itu lebih meyakinkan berbanding aksi final,’’ kata Shukor.

Bagaimanapun, katanya, secara keseluruhan beliau menyokong penuh pasukan Harimau Muda ini kerana merekalah yang bakal menggalas cabaran skuad senior sedikit masa lagi.

Dalam pada itu, Shukor juga melihat pasukan ini juga perlu mengekalkan jurulatihnya, Kim Swee kerana beliau melihat ada keserasian dalam gandingan jurulatih berusia 42 tahun itu dengan skuad Harimau Muda.

Katanya, selepas lima tahun membimbing Harimau Muda, Kim Swee perlu kekal dan beliau sudah masak dengan corak permainan anak-anak buahnya itu.

Jelasnya, keserasian antara kedua-dua pihak itu sangat mustahak dalam sesuatu pasukan dan pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) juga perlu mengambil perhatian perkara tersebut.

“Seperti kita sedia maklum, matlamat penubuhan skuad Harimau Muda ini adalah untuk diserapkan menjadi pasukan utama kebangsaan sedikit masa lagi.

“Jadi, saya berpendapat, apabila ada pemain yang sudah melebihi usia 23 tahun, mereka perlu segera diserapkan ke dalam pasukan senior agar kesinambungan serta bakat mereka itu tidak terhenti begitu sahaja.

“Saya melihat nama-nama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Irfan Fazail dan Putera Nadher Amarhan dan Mohd. Izham Tarmizi ada potensi menjadi tonggak pasukan kebangsaan sedikit masa lagi.

“Tetapi, perjalanan mereka masih jauh dan mereka tidak boleh terlalu berpuas hati dengan prestasi mereka pada masa ini kerana jika salah percaturan, tidak mustahil mereka akan jatuh sebelum sampai ke tahap kemuncak," kata Shukor lagi.

Dalam pada itu, bagi bekas pengendali Harimau Malaya dan skuad B-23 tahun negara, B. Sathiananthan pula berpendapat, pasukan Harimau Muda ini perlu beraksi dalam saingan liga kompetitif untuk menjadi lebih matang.

Jelasnya, momentum para pemain akan meningkat jika sentiasa ada sesuatu aksi kompetitif dalam sesuatu musim itu bukan hanya bergantung kepada aksi persahabatan semata-mata.

Kata Sathianathan, beliau yang berpengalaman lebih enam tahun mengendalikan skuad B-23 tahun negara sebelum ini menegaskan tidak ada gunanya mereka berlatih bersama dan sekadar beraksi dalam siri perlawanan persahabatan sahaja.

“Mereka ini (pemain) yang berusia lebih 21 tahun akan menjadi bosan jika tiada satu saingan liga kompetitif untuk mereka seperti saingan Liga Super dan sebagainya.

“Jika setiap minggu mereka ada satu saingan liga yang tetap serta sentiasa merasai saingan sebenar, mereka akan cepat menjadi lebih matang serta kecergasan mereka akan sentiasa meningkat berbanding sekadar merasai aksi persahabatan.

“Tidak salah sekadar pergi menjalani latihan di luar negara dalam tempoh seminggu atau dua minggu tetapi bagi saya jika sampai lima atau enam bulan menetap di luar negara dan hanya mengharungi aksi persahabatan itu tidak memberi sebarang kelebihan dalam diri pemain-pemain.

“Saya bercakap atas dasar pengalaman saya sebelum ini dan bukan ingin berlagak atau sombong.

“Saya bercakap atas pengalaman lebih enam tahun bersama-sama skuad muda negara dan saya tahu apa yang mereka mahukan," kata Sathianathan.

Kata pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu lagi, beliau menegaskan para pemain dalam pasukan Harimau Muda ini juga tidak boleh disimpan terlalu lama.

Ujarnya, apabila ada para pemain yang menunjukkan potensi boleh meningkat, kita perlu segera menyerapkan mereka ke dalam pasukan senior supaya momentum mereka akan sentiasa meningkat.

“Sebelum ini, kita ada bermacam-macam pasukan pelapis yang ditubuhkan seperti Skuad Olimpik dan sebagainya tetapi apabila berpecah para pemain yang ada itu terus tenggelam dan bakat mereka disia-siakan.

“Jadi, pihak pengurusan serta FAM sendiri perlu merangka proses untuk masa depan yang jelas untuk skuad ini agar kesinambungan mereka dalam menjadi aset masa depan buat bola sepak negara menjadi lebih baik,” katanya.

Selain itu, bagi bekas pengendali kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan pula berpendapat, para pemain Harimau Muda juga perlu bersabar.

Katanya, jika datang sebarang tawaran lumayan daripada kelab-kelab atau mana-mana pasukan ketika ini, mereka harus mengutamakan kepentingan negara terlebih dahulu.

Kata Wan Jamak, adalah penting buat para pemain muda B-23 tahun itu untuk kekal dalam pasukan itu buat masa ini untuk mereka menjadi lebih matang.

Ujarnya, selain menjadi lebih matang, keserasian dalam pasukan juga sangat penting kerana kelompok inilah yang bakal menggalas cabaran skuad senior sedikit masa nanti.

Menurut Wan Jamak lagi, melihat kepada prestasi meyakinkan skaud Harimau Muda dalam kejohanan Pestabola Merdeka baru-baru ini, beliau optimis masih ada sinar dalam bola sepak negara pada masa depan.

Namun, semua pihak terutama FAM wajar memberi perhatian serius dalam usaha merangka prospek pembanunan serta mengambil serius proses memantapkan dan yang lebih penting adalah mengekalkan pasukan ini.

“Apa yang membimbangkan kita semua adalah pasukan ini masih terlalu muda dan para pemain dalam skuad Harimau Muda ini juga perlukan bimbingan secukupnya untuk mengatur perjalanan mereka.

“Apa yang saya lihat, hampir keseluruhan para pemain dalam skuad ini ada potensi besar namun jika tidak kena caranya tidak mustahil mereka akan tenggelam sebelum mencapai tahap matang mereka.

“Saya juga melihat, prestasi positif mereka ini juga adalah hasil inisiatif pengurusan serta FAM yang mengatur jadual latihan serta menghantar mereka berlatih di Eropah sebelum ini dan kita telah melihat hasilnya.

“Bagaimanapun, ia masih terlalu awal untuk kita meletak harapan yang terlalu tinggi buat para pemain muda ini kerana seperti kita sedia maklum masih banyak cabaran yang menanti para pemain ini di masa depan.

“Paling terdekat dalam tempoh beberapa bulan lagi mereka akan mendapat ujian sebenar menjelang saingan di Sukan SEA di Myanmar,” katanya.

Oleh itu, pihak pengurusan juga perlu bijak dalam mengatur program pembangunan masa depan para pemain tersebut dalam memastikan kesinambungan bakat itu berterusan dan tidak tersia-sia begitu sahaja.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong turut optimis masa depan bola sepak negara masih ada sinarnya.

Bagaimanapun, Zolkples menyarankan agar para pemain B-23 negara itu tidak terlalu yakin serta masih terlalu banyak aspek yang perlu diperbaiki.

“Daripada aspek pengalaman saya merasakan skuad ini sudah mendapat lebih daripada mencukupi (untuk memenangi Sukan SEA).

No comments:

Post a Comment